Tuesday, December 21, 2010

Teksi Sabah guna kadar tambang baru - Penumpang teksi di bandar raya ini dikenakan tambang permulaan RM10 bagi tiga kilometer pertama

Teksi Sabah guna kadar tambang baru
Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/12/21

Penumpang bayar RM10 bagi 3 kilometer pertama

KOTA KINABALU: Penumpang teksi di bandar raya ini dikenakan tambang permulaan RM10 bagi tiga kilometer pertama, manakala bagi setiap 100 meter berikutnya dikenakan bayaran 12 sen, mulai 1 Januari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pelaksanaan kadar tambang teksi bermeter itu membabitkan 869 teksi bagi memastikan penumpang tidak dibebani masalah pemandu teksi yang meletakkan kadar tambang sesuka hati seperti sekarang.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan penggunaan teksi bermeter di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu yang sepatutnya berkuat kuasa juga pada tarikh berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan pelbagai masalah.

“Saya diberitahu cadangan untuk melaksanakan penggunaan teksi bermeter di ketiga-tiga daerah itu menghadapi sedikit masalah. Oleh itu, saya nasihatkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) supaya menangguhkan cadangan hingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Saya nasihatkan penumpang teksi supaya memastikan pemandu memasang meter untuk mengelakkan mereka ditipu,” katanya pada sidang media ketika mengunjungi LPKP Sabah, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah LPKP Sabah, Yozimah Jasni.
Kini terdapat 1,011 teksi beroperasi di Tawau manakala Sandakan (698) dan Lahad Datu (69).

Mohamed Nazri juga berkata, pembinaan Terminal Bas Wawasan dan perhentian teksi yang baru di bandar raya ini dijangka dimulakan Mei tahun depan dengan kos RM13 juta.

Tender bagi pembinaan Terminal Bas Wawasan akan dikeluarkan Februari depan manakala perhentian teksi pada Januari ini. Terminal itu dijangka mampu disiapkan dalam tempoh 18 bulan dan perhentian teksi selama 12 bulan.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Teo Chee Kang sebagai Pengerusi LPKP Sabah yang baru, berkuat kuasa 1 Januari ini.


More news on: http://www.bharian.com.my/

Credits to and source taken from: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment