RSS

Mentor 5: Proses pemilihan lebih ketat - Mentor 4 berjaya mencatatkan rating tertinggi sepanjang bersiaran tahun ini

Mentor 5: Proses pemilihan lebih ketat

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR

SEMEMANGNYA sesuatu yang mengejutkan apabila program realiti terbitan TV3, Mentor 4 berjaya mencatatkan rating tertinggi sepanjang bersiaran tahun ini.

Belum pernah dalam sejarah Mentor yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2005 itu mencatatkan rating hampir tiga juta penonton untuk konsert mingguannya.

Manakala pentas akhir Mentor 4 yang diadakan pada 4 Julai lalu pula telah disaksikan seramai 3.8 juta penonton yang menyaksikan Ziana Zain dan protegenya, Mohd. diangkat sebagai juara.

Dengan kedua-dua rekod cemerlang itu, ia sekali gus meletakkan program tersebut sebagai yang terbaik sepanjang Mentor diadakan.

Walaupun tidak terlepas daripada kisah panas, ia langsung tidak menggugat kesetiaan peminat setia rancangan itu untuk terus menjadikan Mentor 4 sebagai tontonan wajib setiap minggu.

Memperkatakan tentang kontroversi, adakah Mentor 5 yang akan memulakan misi pencarian protege tidak lama lagi itu mampu mengelakkan diri daripada terkena tempias itu?

Sesiapa yang mengikuti Mentor 4, pasti tidak akan dapat melupakan apabila Ziana diberi 'hak istimewa' untuk menukar protegenya di saat akhir ketika konsert mingguan pertama sudah bermula.

Lalu, ramai yang kini menunggu dan melihat apakah kisah itu akan berulang sekali lagi dalam Mentor 5?

Menjawab persoalan itu, Penerbit Mentor 5, Muhamad Suffian Isa menjelaskan proses pemilihan protege kali ini akan memastikan kes yang serupa tidak akan berulang kembali.

Untuk itu kata Muhamad Suffian, selepas uji bakat terakhir iaitu pada 30 Januari depan, dia dan kesemua mereka yang terlibat termasuk enam mentor musim ini akan bersidang dan meneliti calon yang benar-benar layak.

“Kalau diperhatikan, kes penukaran protege di saat akhir itu merupakan kes yang agak terpencil dan tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran Mentor.

“Saya dan pihak TV3 sendiri tidak mahu apa yang berlaku dalam musim lalu terjadi lagi. Kerana itu, faktor utama dalam memilih protege kali ini adalah mereka yang komited serta memiliki tahap disiplin yag tinggi di samping memiliki kualiti bakat,” ujarnya dalam nada serius.

Muhamad Suffian berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman enam mentor yang terpilih menerajui Mentor 5 yang diadakan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pastinya, Mentor 5 bakal memberikan satu tontonan yang cukup menarik apabila salah seorang artis yang dipilih sebagai mentor ialah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar.

Lima yang lain termasuklah Afdlin Shauki, Erra Fazira, Edry Abdul Halim, Rahim Maarof serta vokalis kumpulan Hujan, Noh.

Hanya Sharifah Aini sahaja yang tidak dapat hadir pada petang itu kerana masih lagi berada di Mekah dan penyanyi itu sempat memberikan sepatah dua kata menerusi rakaman video.

Berbicara tentang drama yang sudah menjadi sebahagian dalam mana-mana program realiti, Muhamad Sufian menjelaskan, perkara itu tidak mampu dielakkan kerana ia adalah perlakuan yang semula jadi tanpa dibuat-buat.

Mampu menggalas

“Ramai yang menyangkakan drama yang terjadi dalam Mentor adalah sesuatu yang telah dirancang oleh pihak kami tetapi sebenarnya tidak. Biasalah, kalau tiada drama, tidak menarik sesebuah program realiti itu,” ujarnya berseloroh.

Ketika ditanya tentang pemilihan artis dalam Mentor 5, Muhamad Suffian menjelaskan ia bukanlah satu proses yang mudah untuk memilih mereka sebagai mentor bagi musim kelima ini.

“Kami telah menyenaraikan 15 orang artis yang kami fikir layak untuk menjadi mentor kali ini berdasarkan kecemerlangan dan pengalaman mereka dalam bidang seni.

“Seboleh-bolehnya kami juga mahu menampilkan muka-muka baru yang tidak pernah menyertai Mentor sebelum ini.

“Selepas meneliti dan melalui proses perbincangan, kami percaya enam artis yang dipilih kali ini mampu menggalas tanggungjawab mereka dengan baik serta bersedia menyahut cabaran sebagai mentor,” kata Muhamad Suffian lagi.

Seperkara lagi tentang Mentor 5 yang dikhabarkan dalam sidang akhbar itu adalah tentang pengenalan dua juri tetap.

“Itu merupakan salah satu perubahan yang kami lakukan untuk musim ini. Buat masa ini, kami tidak boleh mengumumkan lagi siapakah dua individu itu kerana masih dalam perbincangan.

“Selepas semuanya muktamad kelak, barulah kami akan mengumumkannya pada sidang akhbar yang kedua bersama barisan protege yang terpilih nanti,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Muhamad Suffian juga tidak menafikan bahawa perlu berdepan dengan tekanan memandangkan musim keempat telah melakar kejayaan yang cukup luar biasa.

Tetapi, dia optimis Mentor musim terbaru ini juga mampu mencatatkan kejayaan tersendiri yang turut mengekalkan format pembahagian markah iaitu 50 peratus daripada juri tetap, 30 peratus (SMS) dan selebihnya daripada juri awam.

Uji bakat pertama akan berlangsung pada 18 dan 19 Disember ini di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah manakala 1 dan 2 Januari depan pula akan diadakan di Merdeka Palace, Kuching, Sarawak.

Selain daripada menghadiri uji bakat yang telah ditetapkan, kelainan untuk Mentor edisi terbaru ini apabila para peserta boleh memuat naik rakaman video nyanyian masing-masing ke www.tv3.com.my/mentor5 sebelum atau pada 10 Januari 2011.

“Dengan cara ini, ia lebih memudahkan peserta selain dapat menjimatkan masa daripada menghadiri sesi uji bakat.

“Seandainya mereka berjaya, pihak produksi akan menghubungi mereka untuk hadir ke satu sesi uji bakat pada tarikh dan waktu yang ditetapkan,” ujarnya lagi yang memberitahu uji bakat untuk kesemua mentor akan berlangsung di Sri Pentas.


More news on: http://www.utusan.com.my/

Credits to and source taken from: http://www.utusan.com.my/

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

drmandangmichael@gmail.com said...

Sebab mungkin karena itulah dia dipisahkan sejenak dari padamu, supaya engkau dapat menerimanya untuk selama-lamanya,

Post a Comment

Visitors Map

Online Users