News from Berita Harian Online
Berita Harian Online | Anak sulung Sosilawati urus perniagaan kosmetik
Anak sulung Sosilawati urus perniagaan kosmetik
Erni dilantik Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Februari lalu
KUALA LUMPUR: Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, 25, akan menguruskan perniagaan produk kosmetik jenama Nouvell Visages susulan kematian ibunya.
Erni yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Sdn Bhd sejak Februari lalu oleh ibunya, berkata meskipun seluruh keluarganya masih menunggu keputusan DNA berhubung penemuan mayat kelmarin, buat sementara waktu beliau akan menguruskan empayar perniagaan itu.
Katanya, perniagaan masih berjalan seperti biasa dan stabil tanpa peningkatan atau kemerosotan permintaan daripada stokis di seluruh negara, walaupun kes itu sedang hangat diperkatakan.
“Urusan perniagaan dan kes ini dua hal berbeza untuk dibincang kerana setakat ini perniagaan tidak terjejas.
“Bagaimanapun, operasi perniagaan ditutup bermula 10 September lalu dan akan dibuka seperti biasa Rabu ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat Nouvelle Beauty Sdn Bhd, di sini semalam.
Tinjauan ke Pejabat Nouvelle Beauty di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini mendapati ia ditutup sempena Aidilfitri berdasarkan notis makluman di pintu masuk premis.
Erni menjelaskan, kehadirannya ke premis terbabit bagi mengambil dokumen penting berkaitan urusan perniagaan bagi menyelesaikan kes mahkamah, namun enggan mengulas lanjut sama ada berkaitan kehilangan ibunya.
Sementara itu, suasana di CIMB Bank cawangan Kampung Baru di sini, iaitu tempat Noorhisham Mohammad, antara rakan Sosilawati yang turut dibunuh bekerja, pula kelihatan seperti biasa sejak dibuka jam 8.30 pagi, semalam.
Seorang kakitangan bank berkenaan yang ditemui Bernama berkata, pemergian Noorhisham tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan setugas.
Katanya, pemergian Noorhisham adalah kehilangan besar kepada bank itu kerana beliau pekerja dedikasi dan komited terhadap pekerjaannya.
“Saya percaya jika rakan setugas anda ‘pergi’ pun, mungkin perasaan sama akan dirasai,” katanya.
source: http://www.bharian.com.my
Credits to and source taken from: http://www.bharian.com.my/
The Strangest Year
4 years ago
0 comments:
Post a Comment