Pejabat Sosilawati lengang
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Ibu pejabat Nouvelles Visages Sdn. Bhd. (NV) milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya beroperasi seperti biasa hari ini selepas ditutup sejak Jumaat lalu sempena cuti hari raya.
Bagaimanapun, keadaan pejabatnya yang terletak di Jalan Raja Bot dekat sini itu lengang dan tingkat bawah premis tersebut kosong dan gelap serta tidak dikunjungi pelanggan.
Premis tersebut dibuka oleh salah seorang pekerjanya kira-kira pukul 11.50 pagi dan menguncinya kembali selepas menyedari kehadiran pihak media yang telah menunggu di hadapan pejabat itu seawal 8.30 pagi.
Salah seorang anak Sosilawati, Erinawati Sofia Bukhari tiba di premis berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari bersama seorang lelaki dengan kenderaan pacuan empat roda.
Beliau yang mengenakan baju kurung hijau dan berselendang, berada di situ kira-kira setengah jam sebelum beredar dan enggan ditemu bual.
Difahamkan kakaknya, Erni Dekriwati Yuliana yang juga merupakan pengarah urusan produk kosmetik yang diasaskan ibunya itu tidak dapat hadir ke pejabat kerana melayani tetamu yang tidak putus-putus datang ke rumahnya untuk mengucapkan takziah.
Biarpun tidak dikunjungi pelanggan namun kebanyakan mereka yang lalu lalang di hadapan pejabat tersebut akan memperlahankan kenderaan atau berhenti seketika sekadar untuk melihat bangunan milik jutawan kosmetik itu.
Sosilawati bersama tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu telah dibunuh sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Selangor.
Tiga lagi yang menerima nasib yang sama ialah pemandunya, Kamaruddin Shamsudin; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad dan peguam peribadi beliau, Ahmad Kamil Abdul Karim.
Credits to and source taken from: http://www.utusan.com.my/
The Strangest Year
4 years ago
0 comments:
Post a Comment