'Sri Mersing 2' Dipentaskan Di Johor Julai Depan
Oleh KEMALIA OTHMAN
Pelakon utama Sri Mersing Zul Huzaimy dan Elly Mazlein.
KUALA LUMPUR: Teater adaptasi filem Sri Mersing yang pernah dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu akan dipentaskan buat kali kedua di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru selama tiga hari bermula 15 Julai depan.
Penerbit, Megat Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Keno berkata, teater karya Allahyarham Salleh Ghani itu dipentaskan di Johor kerana menghargai sejarah Sri Mersing yang berasal dari negeri tersebut.
"Kita memilih Johor Bahru kerana Sri Mersing merupakan sebuah tempat yang terletak di negeri Johor manakala kebanyakan tenaga produksi asal filem ini berasal dari negeri tersebut.
"Dengan membawa teater ini ke sana, masyarakat Johor berpeluang untuk menontonnya dalam bentuk teater dan tidak perlu ke Istana Budaya," katanya pada sidang media Teater Sri Mersing 2, di sini, Khamis.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah barisan artis yang menjayakan teter tersebut seperti Zul Huzaimy, Elly Mazlein, Fazurina, Leez Rosli dan A.Galak.
Jelas Keno, selepas kejayaan pementasan Sri Mersing lalu, pihak Esplanade, Singapura dan Brunei telah menawarkan untuk membawa teater berkenaan ke negara itu namun terdapat halangan dari segi bajet yang diberikan.
"Kita tiada masalah untuk terima pelawaan bagi mementaskan teater tersebut di negara jiran tetapi masalah dari segi bajet yang mereka tawarkan tidak berpatutan," katanya.
Dalam pada itu, kata Keno, pemilihan barisan pelakon pula adalah terdiri daripada individu yang sama pada pementasan lalu tetapi hanya watak Damak yang dipegang oleh Adi Putra diganti dengan pelakon Zul Huzaimy.
"Adi tidak dapat menjayakan teater ini kerana mempunyai komitmen lain dan Zul Huzaimy merupakan calon yang paling sesuai memegang watak tersebut," katanya.
Ujar Keno, dia yakin kedua-dua artis tersebut mampu memberi keserasian dan persembahan yang terbaik.
Sementara itu, cabaran utama menjayakan teater ini adalah dari segi penggunaan set yang di stadium tersebut.
"Kita akan menggunakan set seperti dipentaskan di Istana Budaya lalu tapi cabaran utama adalah kemudahan teknologi yang berbeza.
"Kami akan menggunakan secara manual dan akan membabitkan lebih ramai tenaga kerja," katanya.
Teater di bawah naungan Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ini juga merupakan kerjasama antara Istana Budaya, Kerajaan Johor dan Keno Production.
Tiket dijual dengan harga RM25 dan RM50. Ssebarang pertanyaan atau tempahan boleh menghubungi talian 03-78807999 atau layari laman web www.ticketpro.com.my.
Sambung baca/continue reading: http://www.mstar.com.my
sumber: http://www.mstar.com.my
An impending change and Choco
5 years ago
0 comments:
Post a Comment