Mizz Nina & Noh Selamat Bernikah
by 2067120 | 01 Jul 2011
KUALA LUMPUR, 1 Julai 2011 – Penyanyi R&B dan rap Mizz Nina hari ini secara rasmi bergelar isteri dan menjadi sebahagian daripada hidup Noh, penyanyi utama kumpulan popular, Hujan.
Mizz Nina atau nama penuhnya, Shazrina Tan Sri Azman Hashim dan Mohammed Noh Salleh atau Noh selamat bernikah pada hari Jumaat, 1 Julai 2011 di kediaman ibu-bapanya di Ukay Heights, Ampang, Selangor.
Majlis akad nikah tersebut bermula pada kira-kira pukul 9:00 malam dalam suasana sederhana yang bertemakan elegan klasik berteraskan warna hitam dan putih.
Majlis tersebut dihadiri lebih 150 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan teman-teman rapat pengantin.
Noh, yang muncul tenang dengan sedikit kelainan berbanding tetamu lain dibezakan dengan sepasang baju Melayu putih yang direka khas oleh pereka kepada bintang ternama, Syaiful Baharim.
Pada kira-kira 10:15 malam, dengan sekali lafaz, Noh dinikahkan oleh bapa Nina, Tan Sri Azman Hashim di hadapan Tuan Kadi, Ustaz Hj Mohamed Khairi bin Husin, Imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang yang disaksikan Ustaz Hj. Ab Rashid Hj Ahmad dan Ustaz Hj. Syamsul Firdaus Mohamed Supri.
Upacara akad nikah tersebut turut disaksikan bapa Noh, Salleh Ibrahim.
Ibu Nina, Puan Sri Arishah Tunku Maamor dan ibu Noh, Dayang Soraya Abang Fadzail juga turut hadir menyaksikan majlis tersebut.
Di majlis tersebut, Noh membawa tujuh dulang yang terdiri daripada setepak sirih junjung, dua set barang kemas, satu unit tablet Apple iPad 2 dan kek tradisional Sarawak. Noh turut menyerahkan wang hantaran sebanyak RM11,111.11 kepada Mizz Nina dan belanja mas kahwin pula sebanyak RM888.88.
Pihak Nina kemudiannya membalas sebanyak tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada setepak sirih junjung, sepasang kasut, dompet, baju bersanding, coklat, cincin, gelang perkahwinan dan satu unit tablet Blackberry Playbook.
Semua hantaran disediakan oleh perunding majlis perkahwinan, Eddy dari Favors.
"Alhamdulillah, saya gembira majlis malam ini berjalan dengan lancar. Saya juga bersyukur kerana malam ini berlangsung di bawah rahmat-Nya, "ujar Mizz Nina yang kelihatan berseri selepas majlis tersebut dan menambah bahawa tarikh itu dipilih kerana ia juga merupakan tarikh lahirnya.
Sejurus selepas majlis akad nikah, pasangan bahagia Mizz Nina dan Noh diraikan tetamu jemputan untuk upacara merenjis sebelum mereka meraikan tetamu yang hadir dalam satu majlis jamuan ringkas.
Tampil sangat elegan dengan sentuhan klasik, Mizz Nina mengenakan baju kurung tradisional berona hitam dan putih rekaan Lady Jane. Penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu rancak, What You Waiting For yang turut menampilkan protégé Akon, Colby O’Donis itu bersama suaminya meluangkan masa bersama tetamu yang hadir.
Setiap mata yang memandang pasti tertawan melihat pasangan pengantin yang benar-benar kelihatan seperti pasangan bidadari di syurga inderaloka.
Dirisik sama ada pasangan itu sedang merancang untuk memulakan keluarga, serta-merta Mizz Nina ketawa sambil berkata, "Oh tidak lagi, tetapi jika Allah mahu memberikan saya anak secepat ini, saya akan sangat bersyukur.
"Noh dan saya ingin mendedikasikan dua tahun pertama perkahwinan dan kerjaya kami bagi membina asas yang kukuh untuk keluarga kami dan menjadi contoh yang baik untuk anak-anak kami nanti," katanya.
Kedua-dua Mizz Nina dan Noh juga telah berjanji bahawa mereka akan menyokong antara satu sama lain dalam kerjaya nyanyian mereka.
"Ia amat penting bagi kami berdua untuk berdiri teguh dan menyokong usaha antara satu sama lain," katanya lagi.
Ditanya di mana pasangan itu akan pergi untuk berbulan madu, Noh yang berasal dari Miri, Sarawak berkata mereka akan bercuti selama dua minggu dan terbang ke United Kingdom dan Itali sebelum menamatkan destinasi bulan mahu mereka di kepulauan Maldives.
"Percutian bulan madu ini amat penting bagi kami setelah masing-masing memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya masing-masing sebelum persiapan untuk majlis ini bermula," kata Mizz Nina.
Pasangan itu akan menjadi tuan rumah untuk satu majlis persandingan mewah bertemakan “Purple Elegance” yang bakal berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur pada 3 Julai ini.
Kredit Foto : Twitter @agcoco
Sambung baca/continue reading: http://www.gua.com.my/
sumber: http://www.gua.com.my/
0 comments:
Post a Comment